بسم الله االرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari ini
hari Khamis dan telah masuk hari keenam jemaah kumpulan 6 Andalusia berada di
Tanah Makkah. Jabal Nur telah pun mereka jejaki. Betapa cantiknya permandangan
kota Makkah yang dapat dilihat dari puncak Jabal Nur. Yang paling menarik,
Kaabah dapat dilihat dari puncak. Mungkin kerana itu Nabi Muhammad S.A.W. suka
beruzlah di Gua Hira’. Kerinduan pada Baitillah ketika uzlahnya pasti terubat
dengan melihat ke arah Kaabah. Hudaibiah juga mereka telah jejaki. Satu tempat
bersejarah yakni sempadan ketika Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang lain
ingin masuk ke Tanah Haram Makkah yang pada ketika itu masih dikuasai pihak
musyrikin Makkah. Perjanjian telah dilakukan diantara Rasululullah S.A.W. dan
pihak musyrikin yang diwakilkan kepada Suhail bin Amru. Agama Islam dapat
dikembangkan ke kota Makkah kesan daripada perjanjian ini.
Hari ini, sekali lagi mereka akan melakukan
umrah secara berjemaah dengan bermiqat di Tane’em. Mereka bertolak awal pagi
agar dapat menyelesaikan umrah sebelum Zohor supaya tak lewat seperti umrah mereka yang bermiqat di
Ja’ranah. Sepanjang perjalanan ke Tane’em, Imtiyaz bercerita lagi.
“Tane’em
ni istimewa sikit tempatnya tapi bukanlah kerana ada ganjaran pahala yang lebih
dari masjid lain. Ganjaran istemewa itu hanya terdapat pada tiga masjid,
Masjidil Haram Makkah, Masjidil Haram Nabawi dan Masjidil Aqsa. Masjid-masjid
selain yang tiga ini semuanya sama. Istimewa yang saya maksudkan adalah sejarah
disebaliknya. Baiklah, ada siapa-siapa yang tahu perihal sejarah yang berlaku
dimasjid Tane’em?” interaksi dua hala bermula lagi. Tapi nampaknya, tiada siapa
yang mampu menjawab soalan mutawwif mereka itu.
“Baiklah
yang sebenarnya pada tika Nabi Muhammad S.A.W. dan sahabat yang lain dalam
perjalanan untuk pulang ke kota Madinah setelah selesai melakukan haji, isteri
baginda, Saidatina Aisyah r.a. tiba-tiba ingin melakukan umrah kerana rindu
terhadap Baitillah. Pada saat orang lain melakukan haji, Saidatina Aisyah r.a.
tidak dapat melakukan haji serta sekaligus umrah. Haa, teka teki, siapa yang
tahu kenapa Saiadatina Aisyah tak dapat melakukan umrah dan haji?” soal Imtiyaz
lagi. Sengaja dia melakukan sebegitu agar dia tahu bahawa dia tidak berceloteh
berseorangan. Respon yang diterimanya pelbagai, ada yang kata sakitlah, barang
kemasnya hilanglah dan bermacam lagi. Nampaknya, sejarah rantai Aisyah r.a.
yang hilang itu sudah bercampur aduk dengan peristiwa lain.
“Yang
sebenarnya Saidatina Aisyah r.a. itu uzur syari’e yakni uzur orang perempuan
yang tiap-tiap bulan itu. Jadi segala ibadah haji dan umrah tidak dapat
disempurnakan kerana rukun tawaf memerlukan wudhu’. Jadi, hasrat hati Saidatina
Aisyah r.a. itu disampaikan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah pula yang tak
mahu menghampakan isteri baginda itu mencari tempat yang paling berhampiran dengan
tanah haram untuk dijadikan tempat miqat. Lalu pada ketika itu, tempat terdekat
adalah di Tane’em. Dapatlah Saidatina Aisyah r.a. melakukan umrahnya dengan
berniat ihram di Tane’em. Sebab itu, masjid Tane’em juga dikenali sebagai
masjid Saidatina Aisyah r.a.” jelas Imtiyaz. Semua jemaah mengangukkan kepala
tanda memahami cerita Imtiyaz.
“Kita dah
pun sampai. Mungkin ada yang dah datang ke Tane’em kerana melakukan umrah
persendirian. Jadi, kita berhenti sekejap, solat sunat tahiyatul masjid dan
niat ihram umrah terus di dalam masjid. Kalau sebelum-sebelum ini, saya bombing
niatnya di dalam bas, tapi kali ini, tuan puan kena buat secara bersendirian
tanpa bimbingan saya lagi-lagilah bagi kaum wanita. Niat umrah mesti dilakukan
dalam masjid sebab dikhuatiri jika diluar masjid akan terlepas sempadan tanah
halal-haram yang tidak berapa jauh dari dinding masjid Tane’em. Baiklah kita
berhenti selama 15minit” Imtiyaz membuka pintu bas dan masing-masing turun
menuju ke pintu masuk masjid Tane’em.
Memang
betul apa yang dikatakan Imtiyaz. Umrah mereka selesai sebelum Zohor. Malah,
ada masa yang panjang lagi sebelum waktu Zohor. Sekurang-kurangnya, mereka tak
perlu berulang alik dari hotel ke masjid untuk menyelesaikan umrah akibat
keperluan makan tengahari selepas waktu Zohor. Menyenangkan pihak jemaah umrah
juga. Oleh kerana esok hari Jumaat, Hakimi, Imtiyaz dan para mutawwif dari
kumpulan Andalusia yang menginap di Hotel Hijjaz bercadang untuk mengadakan
tahlil sesudah sarapan keesokan harinya. Setiap jemaah dibenarkan untuk memberi
lima nama ahli keluarga mereka untuk tahlil tersebut. Maka, ramailah yang
mengambil peluang ini.
“Assalamualaikum
ustaz. Ini nama untuk majlis tahlil esok” kata Khairunnisa’ ringkas sambil
menyerahkan satu kertas kepada Imtiyaz sesudah makan malam. Tika itu Imtiyaz
sedang duduk berbual bersama Hakimi serta jemaah lain. Setiap kali Khairunnisa’
muncul di hadapannya, persoalan yang sama pasti muncul dibenak fikirannya.
“Enta tahu
tak Hakimi. Perempuan tadi tu…” kata-katanya dipotong oleh Hakimi.
“Yang tak
menyerahkan pasport di lapangan terbang hari itu.” Sambung Hakimi tapi apa yang
dikatakannya itu berbeza dari apa yang ingin diperkatakan oleh Imtiyaz.
“Oh, dia
kah? Tapi bukan itu yang ana maksudkan. Muka perempuan itu seperti ana pernah
lihat sebelum ini. Ada persis muka seorang sahabat ana. Tapi, segan la ana nak
tanya. Dia tu macam berada dalam dunianya sendiri sahaja.” Jelas Imtiyaz.
“Kalau
tanya dia terus ,memang janggal tambahan tak manis dipandang. Pergaulan mesti
dijaga. Kenapa enta tak tanya ahli keluarganya yang lain?” Hakimi cuba
memberika solusi.
“Dia buat
umrah seorang diri sahaja. Mahramnya pun diuruskan oleh pihak Andalusia. Ramai
lagi jemaah-jemaah lain yang tiada mahram tapi kebanyakan dah berumur. Jadi
apa-apa pun, perempuan tadi tu sering seorang diri.” Jelas Imtiyaz lagi. Dia
memandang kertas yang diberikan oleh Khairunnisa’ itu tadi. Hakimi pula terus
diam kerana turut memikirkan solusi sahabatnya itu.
“Nama-nama
ni..” Imtiyaz menduga.
“Kenapa Im? Kenapa dengan nama tu? Enta kenal ke? Soalan Hakimi
tidak mendapat jawapan. Fikiran Imtiyaz mempamerkan ulang tayang perjumpaannya
dengan Khairunnisa’. Dia yakin dengan firasatnya. Dia sangat yakin.